29 July 2012

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani yang berkesan dalam membersihkan dan menyinarkan jiwa setiap insan.  Allah berfirman, "...Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad S.A.W.) dari Allah dan sebuah kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya dan denganya Tuhan kelurakan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izin Nya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus." (Al-Maidah: 15 dan 16)
KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN:
  1. Sumber syafaat di hari akhirat.  Rasulullah S.A.W. bersabda, "Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya." (HR Muslim)
  2. Sebaik-baik amalan.  Osman Bin Affan meriwayatkan, "Sebaik-baik manusia di antara kamu yang mempelajari Al-Quran dn mengajarkannya kepada orang lain." (HR Bukhari)
  3. Diberi kemuliaan dan diberikan ganjaran dua pahala bagi yang tidak mahir.  Rasulullah S.A.W. bersabda, "Orang (Mukmin) yang mahir membaca Al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia.  Dan orang membaca Al-Quran, padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia berhak mendapat dua pahala." (HR Muslim)
  4. Keharuman jiwa. Rasulullah S.A.W. menyatakan tentang kelebihan martabat dan keutamaan orang membaca Al-Quran, demikian maksudnya. "Perumpamaan orang Mukmin yang membaca Al-Quran, adalah seperti bunga utrujjah (ada pendapat mengatakan seperti epal dan lemon), baunya harum dan rasanya lazat; orang Mukmin yang tak suka membaca Al-Quran, adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum, tetapi manis rasanya; orang munafik yang membaca Al-Quran ibarat buah Raihanah iaitu buah yang berbau harum tetapi rasanya pahit; dan orang munafik yang tidak membaca Al-Quaran, tak ubahnya seperti buah hanzalah (peria), tidak berbau dan rasanya pahit sekali."  (HR Muslim)
  5. Memberikan ketenangan.  Muslim meriwayatkan daripada Al-Bara' bin Azib R.A., "Seorang lelaki sedang membaca surah Al-Kahfi dan bersamanya seekor kuda yang terikat dengan tali yang panjang.  Tiba-tiba kepulan awan datang menutupi kuda dan berputar di sekitar kudanya, keadaan ini membuatkan kudanya lari.  Apabila tiba waktu pagi beliau datang menemui Nabi lalu baginda bersabda: Itulah ketenangan yang diturunkan bersama Al-Quran." (HR Muslim)
  6. Setiap satu huruf bacaan akan dikurniakan pahala.  Rasulullah S.A.W. bersabda, "Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al-Quran) maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu dilipat-gandakan dengan 10 (pahala).  Aku tidak mengatakan "Alif Laam Mim" adalah satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (HR Tirmidzi)
  7. Memberi cahaya di dalam rumah.  Di dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda, "Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga mu dengan sembahyang dan dengan membaca Al-Quran." (HR Baihaqi)

No comments:

Post a Comment